Jumaat, 17 Ogos 2012

::BaJu RaYa vs BaJu PuaSa::


Saat-saat akhir Ramadan ni, pasti sebahagian daripada kita turut menyibukkan diri untuk persediaan Syawal yang bakal tiba tak lama lagi. Tengok saja lah di kotaraya dan pusat bandar, manusia berpusu-pusu mengimarahkan gedung-gedung jualan Mega Sales Hari Raya. Bagai disodok ribuan manusia dek kepadatan mereka di sana. Alangkah indahnya jika jumlah ini juga yang mengimarahkan rumah-rumah Allah lebih-lebih lagi di bulan mulia ini.

Baju Raya
Sebenarnya, apa yang dicari oleh manusia pada ketika ini?
Persiapan raya? Ya, sudah semestinya. Ia memang menjadi kelaziman apabila tiba bulan Ramadan. Semuanya kalau boleh ikut sunnah nabi, bergembira di hari raya & berpakaian terbaik pada hari Syawal nanti. Baju raya, kasut raya, songkok, tudung semuanya nak baru. Tidak hairanlah ramai antara kita berbelanja besar untuk hari raya ini. Walhal Nabi Saw menganjurkan umatnya untuk berpakaian terbaik di hari tersebut, bukanlah mesti berpakaian baru.

Pernahkah kita terfikir disaat kita membeli baju raya itu, itulah pakaian terbaik kita? Bagaimana pula dengan orang-orang yang kurang bernasib baik seperti kita yang hanya kitar semula pakaian mereka ataupun menerima pakaian-pakaian pemberian insan berhati mulia? Adakah itu juga dikira pakaian terbaik? Ataupun pakaian terbaik itu adalah baju-baju yang bersilau-silau dengan kilauan manik, labuci, kain tinggi kualiti, mahal dan sebagainya?

Baju Puasa

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
-          Al-Baqarah, ayat 183

Tuntutan berpuasa telah diwajibkan ke atas umat Islam keseluruhannya malah juga umat-umat yang terdahulu. Bila tiba bulan Rejab, menghampiri pula bulan Syaaban dan akhirnya tiba di bulan Ramadan, ramai di antara kita sudah membuat persediaan untuk melipatgandakan amalan-amalan di bulan mulia ini. Bulan yang penuh barakah, banyak kebaikan tersedia di dalamnya bagi mereka yang berusaha meraihnya. Apatah lagi dijanjikan dengan pahala amalan yang berganda-ganda; pahala amalan sunat diganjari pahala seperti pahala amalan wajib, pahala amalan wajib pula diganjari hingga boleh mencecah kepada 70 kali ganda. Masya Allah…

Malam-malamnya dihiasi dengan satu-satunya ibadah Terawih, berqiamullail. Bulan yang dibahagikan kepada 3 fasa; Fasa 1-kerahmatan, Fasa 2-keampunan (maghfirah), Fasa 3-dilepaskan dari neraka. Sejuk hati melihatkan ramai manusia berpusu-pusu mengimarahkan rumah-rumah Allah, masjid dan surau-surau bagi mengerjakan qiamullail ini, ditambahi pula Qiamullail di fasa ke-3 untuk mengejar amalan pahala 1 malam itu lebih baik daripada 1000 bulan yakni Lailatul Qadr.

Usai iftar/berbuka puasa, manusia bergegas mempersiapkan diri untuk solat bersama-sama jemaah di masjid atau surau apabila tiba Isyak. Lelakinya dengan segak berbaju melayu, berjubah walaupun selama ini jarang-jarang sekali pakai apabila solat. Mungkin kalau rajin seminggu sekali, semasa solat Jumaat. Perempuannya dengan bertelekung seawal dari rumah walaupun selama ini jilbabnya tidaklah sempurna.  Semuanya sama-sama menuju ke 1 destinasi. Menghambakan diri kepada Pencipta.

Baju Raya vs Baju Puasa
“ Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.”
-          Al-A’raf, ayat 26

Ada yang menganggap, baju raya dan baju ketika mengerjakan ibadah semasa puasa sama sahaja. Ada juga yang membedakannya. Terpulang kepada selera iman masing-masing. Tetapi Allah telah berfirman seperti ayat di atas, bahawa pakaian yang terbaik adalah PAKAIAN TAKWA. Maka, berfikirlah kita sejenak, adakah amalan kebiasaan kita kini dan selama ini membawa kita kepada takwa? Adakah dengan anjuran berpuasa di bulan Ramadan itu, kita mampu mencapai takwa seperti firman Allah dalam ayat 183, surah al-Baqarah?

Selamat beramal…

*************************************************************
Ø  Tidak ada salahnya untuk meraikan Aidilfitri dengan berpakaian baru dan sebagainya. Berpada-padalah dalam berbelanja dan tidak menurut hawa nafsu. Pakaian baru biarlah seiring dengan peningkatan penghayatan amal kita untuk mencermin kan Islam itu sendiri, bukan mencerminkan kegembiraan sambutan semata-mata.
Ø  Semoga saya, anda dan kita semua dapat mencapai takwa. Biarlah sedikit demi sedikit daripada tiada. Semoga dengan sedikit ini kita sedar betapa berharganya hidayah dan petunjuk Allah kepada kita selama kita bernafas di dunia ini.
*Takwa ialah mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Ø  Doakan saya, anda dan seluruh ahli keluarga kita serta muslimin dan muslimat, supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu, dikekalkan dalam nikmat Iman dan Islam, dipanjangkan umur dalam kebajikan, dan keluar dari belenggu nafsu, kejahilan dan Iblis sekutunya.


“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur atau barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-minta, dan memerdekakan hamba sahaya, yang laksanakan salat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”
-         Al-Baqarah, ayat 177

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri,…”
-          Al-Baqarah, ayat 44

“Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”
-          Al-A’raf, ayat 23

Salam Eid Fitri, maaf zahir dan batin kepada semua selama perkenalan ada salah silap. Semoga Allah menerima amalan saya dan kita semua. Doakan perjalanan kita di dunia ini mendapat berkat dan keredhaan Allah. Amin…
“Ya Tuhan kami, terimalah (amal) dari kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
-          Al-Baqarah, ayat 127



Salam Eidul Fitri



17 Ogos 2012
29 Ramadhan 1433H
7:06 pagi

Tiada ulasan: