Rabu, 10 Julai 2013

::Diari 1 Ramadan 1434H::

Bagaimana malam pertama Ramadan anda tahun ini? Dapat tak meluangkan masa bersama jemaah qariah masing-masing untuk sama-sama menunaikan solat terawih? Alhamdulillah... Jika belum berkesempatan, belum mampu menggerakkan hati dan anggota, ayuh azam sama-sama untuk esok, lusa dan seterusnya kita dapat bersama jemaah lain hinggalah akhir Ramadan nanti. Syukur Alhamdulillah juga kerana hingga malam pertama Ramadan ini kita masih lagi diberi peluang oleh Allah subhanahu wa Taala untuk bernafas, memilih mengerjakan kebaikan di bulan mulia ini. 

Alhamdulillah, hari ini berjaya mencorakkan malam pertama Ramadan dengan terawih di surau taman perumahan. Alhamdulillah lagi sekali kerana jemaah pada malam ini ramai, memenuhi segenap ruang solat muslimin dan muslimat. Saya kira semua orang merasakan rahmat Allah dalam diri dengan berkat yang diturunkan pada bulan Ramadan ini. Berbondong-bondong manusia ke masjid dan surau untuk mengimarahkan bulan mulia dengan bermacam-macam amalan. Insya Allah, istiqamah hingga ke akhir. Pihak jawatankuasa surau juga berusaha sedaya upaya menyediakan ruang kepada jemaah untuk tujuan ini. Bermula dengan majlis iftar harian, solat maghrib dan isyak berjemaah, tahlil ringkas, solat sunat terawih dan witir, seterusnya tazkirah selama 30 minit dan akhirnya sesi tadarus al-quran.

Setelah selesai witir, imam mengambil kesempatan menyampaikan tazkirah ringkas pada malam pertama ini. Antara isi bicara adalah:

1) Niat.
Niat adalah perlakuan dengan sengaja. Niat menentukan perbuatan kita seterusnya, menentukan keazaman kita untuk melakukan apa yang diniatkan. Juga diingatkan kepada para jemaah supaya berniat puasa bermula malam ini dan seterusnya kerana sekiranya tiada niat, tidak terangkat perbuatan fardhu itu. Berniat puasa Ramadan menurut imam Syafie adalah pada setiap malam. Sekiranya antara kita terlupa atau tidak tahu, berikut adalah panduan niat yang biasa diajarkan kepada kita. Niat bukan secara lafaz, tetapi lintasan hati. Niat tidak wajib dalam bahasa arab tetapi bahasa yang kita fahami. Insya Allah, Allah Maha Mengetahui.


Sekarang ini macam-macam pendekatan boleh kita cari. Nak hafal sekarang mudah saja, klik sahaja pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=mZmxKGU8d9Y&noredirect=1 dan kalau nak dengar sangat Upin Ipin di sini => https://www.youtube.com/watch?v=sYxCykARpPA&noredirect=1. Mudah kan? =)

2) 4 amalan digalakkan di bulan Ramadan. 
Di akhir Syaaban, Rasulullah saw ada mengingatkan kita bahawa ada 4 amalan yang kita perlu banyak lakukan di bulan Ramadan. Yang pertama adalah banyak berzikir 'La Ilaha illallah' yang akan memahatkan aqidah dan keyakinan kita kepada Allah. Kedua, perbanyakkan memohon ampun kerana di bulan Ramadan ini Allah swt membuka pintu keampunan seluas-luasnya, dosa yang besar atau kecil, dosa yang lama atau yang baru, semuanya Allah ampunkan. Ketiga, perbanyakkan berdoa kepada Allah memohon redha dan syurgaNya. "Allahumma inni asaluka ridhaka waljannah". Keempat, perbanyakkan berdoa kepada Allah, minta dilindungkan daripada murka dan neraka Allah. "Wa na'udzubika min sakhotika wannar' (Ya Allah, lindungilah kami daripada kemurkaanMu dan nerakaMu) 

Imam mengingatkan semula tentang niat kerana niat amat penting. Tanpa niat, puasa tidak sah dan niat pula bukanlah dengan saja-saja (sambil lewa). Hendaklah kita perbaiki Ramadan kita dengan sebaik-baik perkara. 

Begitulah malam pertama Ramadan saya. Anda bagaimana? Jangan lupa doakan untuk seluruh umat Islam, anda dan keluarga serta keluarga saya semua. Terima kasih... 

Tiada ulasan: