Kehidupan dalam dunia yang bagai dirasuk oleh peralihan zaman sains dan teknologi secara mendadak yang memakan berpuluhan impak. Salah satu kesan yang utama berkait rapat dengan permasalahan etika atau moral atau akhlak seseorang individu dalam mencorak kehidupan seiring dengan zaman ini. Oleh itu, tidak mustahil apabila wujudnya permasalahan status halal dan haram dalam barangan di Malaysia yang seringkali kunjung tiba. Hal ini dapat kita dapati apabila sensitiviti umat Islam yang merupakan kelompok pengguna terbesar di Malaysia dicemari dengan perkara-perkara yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak yang kurang bertanggungjawab. Walhal, perkara sedemikian seharusnya wujud satu pemahaman dan sikap saling menghormati sesama manusia dalam menghidupkan satu masyarakat madani yang baik dan saksama.
Isu halal di Malaysia banyak berfokus kepada kaedah pemprosesan, pengendalian dan bahan mentah yang digunakan. Kebanyakan daripada produk-produk diimport dan dibeli di luar negara dan menyukarkan pengguna untuk mencari status halalnya. Produk yang dikatakan halal ini bukan hanya tertakluk kepada produk makanan sahaja malahan merangkumi pelbagai barangan yang digunakan dalam perkara-perkara daruriyat, hajiyat dan tahsinat. Sekiranya terdapat kepincangan dalam pengeluaran dan penggunaan produk halal, ianya menyukarkan kehidupan manusia amnya.
Halal adalah sesuatu perkara yang dibenarkan oleh syarak. Setiap muslim wajib melakukan perkara halal dalam setiap perbuatan, perkara dan tingkah laku. Masyarakat perlu sedar betapa pentingnya isu ini jika dimainkan seolah-olah perkara yang ditetapkan boleh dipandangan ringan. Namun sebilangan besar masyarakat tahu bahawa produk yang halal itu penting sebagai tanda kepatuhan mereka sebagai hamba kepada Allah SWT. Segala yang telah digariskan dalam syariah menjadi panduan dalam mengurus kehidupan seseorang muslim. Pembinaan menjadi seorang muslim yang baik dapat dipraktikkan melalui amalan-amalan berlandaskan syariat Islam. Dalam firman Allah SWT bermaksud:
”Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk”
(Al-Araf :ayat 157)
Piawaian terhadap produk-produk berjenama ‘HALAL’ mesti mendapat penekanan yang teliti daripada pihak yang bertanggungjawab seperti JAKIM dan kerajaan. Pemantauan berkala dibuat di premis-premis jualan dan kilang-kilang pemprosesan bagi memastikan produk-produk yang dilepaskan ke pasaran sentiasa mematuhi piawaian halal. Sekiranya terdapat keingkaran, sijil ‘HALAL’ layak ditarik balik dan di produk tersebut diawasi di premis-premis yang berkaitan. Informasi terhadap isu halal ini juga seharusnya disebarluas menerusi sesi dialog, seminar, ceramah atau kempen dengan kaedah media elektronik atau cetak, internet dan sebagainya kepada para pengeluar produk dan orang awam. Penyelesaian sebegini diharapkan agar masyarakat tidak lagi memandang remeh dalam soal halal dan haram, justeru pemahaman dan kepentingannya dapat diterapkan dalam masyrakat berbilang bangsa.
Oleh yang demikian, pihak berwajib mesti mengambil tindakan yang lebih tegas dan agresif terhadap isu ini. Segala tindakan hendaklah berasaskan kepada kemaslahatan manusia dan kepentingan Islam semata-mata demi mencari keredhaan di sisi-Nya. Namun begitu, penyelesaian bukan sahaja terletak di bahu pihak berwajib semata-mata. Peranan dan sumbangan setiap individu mampu mencorakkan satu suasana yang lebih baik dari segi pemikiran, tenaga dan sumber.
~islam & isu-isu semasa~23 september 2010~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan