Khamis, 21 Oktober 2010

::Punca Dan Sebab Berlakunya Terrorisme Dan Bagaimana Untuk Mengatasinya::


Seringkali di media dan dada akhbar merencanakan mengenai soal terrorisme atau pun keganasan yang semakin hebat diperkatakan sejak dua dekad yang lalu. Isu ini telah dikenalpasti merebak dengan hebatnya sejak peristiwa 11 September 2001. Impaknya pada kedudukan umat Islam kian dilanda kerunsingan akibat didoktrin oleh sesetengah pihak sebagai terroris atau pengganas. Namun menurut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keganasan boleh ditakrifkan sebagai meliputi tiga jenis iaitu keganasan terhadap diri sendiri(seperti membunuh diri), keganasan individu yang lain(seperti menganiayai kanak-kanak) dan keganasan antara satu kelompok dengan yang lain (seperti peperangan dan rusuhan kaum). Pada masa yang sama keganasan juga dilihat dalam bentuk fizikal, psikologikal dan stuktural yang mana perlakuan-perlakuan ini menyebabkan berlakunya kepincangan dalam instutusi mayarakat kita pada hari ini.

Dalam menelusuri arus kehidupan, dapat dilihat punca utama bangkitnya soal terrorisme ini daripada peristiwa 11 September 2001. Sejak daripada peristiwa inilah pelbagai tohmahan dan fiil yang dirasakan amat membunuh pemikiran masyarakat dunia bahawa terroris yang sebenar adalah orang Islam. Perkara ini bukanlah retorik semata-mata malah mereka mengia-iakan khabar tersebut dengan beberapa siri keganasan yang kononnya dilakukan oleh orang Islam itu sendiri sebagai contoh watak Osama Laden beserta anggota tenteranya. Sebagai analogi, sekawan gajah akan mengamuk sekiranya berlaku kemasukan asing dalam kawanannya. Begitu juga dengan orang Islam yang kini mula dirombak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam situasi tersebut, apakah reaksi mereka? Sudah tentu pembelaan diri dilakukan bertubi-tubi atas desakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Inilah yang dirakamkan oleh mereka sebagai bukti bahawa Islam itu terroris, pengganas dan seangkatan dengannya.

Faktor agama juga dilihat sebagai punca berlakunya keganasan. Jika dinilaikan agama dengan nyawa, manusia lebih sanggup menggadaikan diri untuk agama. Maka, pertembungan kekuasaan antara berlainan agama menjadi panas di sesetengah negara sehinggakan berlakunya pertumpahan darah. Selain itu, punca kuasa juga menjadi keutamaaan. Pemimpin dunia merangka pelbagai agenda bagi memastikan penguasaan terhadap negara di bawah pengaruhnya taat setia dan patuh. Kadangkala penindasan dilakukan di sesetengah negara yang mempunyai nilai terutama negara-negara telaga minyak.

Jika dilihat pula daripada perspektif lain, mereka yang dikatakan terroris ini kebanyakannya bertindak atas dasar nyawa. Nyawa adalah sesuatu yang sangat berharga dan dengan menyelamatkan satu nyawa, jasad yang hidup itu akan menjadi pemimpin dalam menegakkan kebenaran pada satu hari nanti. Seterusnya, sesetengah perlakuan dilakukan untuk mempertahankan keturunan mereka. Sesetengah keturunan telah dikurniakan dengan kelebihan masing-masing dan menjadi fokus utama serangan pihak tertentu bagi menghapuskan kelebihan yang ada pada keturunan tersebut supaya penguasaan mereka tidak terhalang oleh faktor sedemikian. Terakhir, pemeliharaan akal yang menjadi mastermind utama dalam sesuatu perkara sebagai contoh Syeikh Ahmad Yassin membangkitkan Intifadah dikalangan rakyat Palestin hingga kini menjadi pembakar semangat juang mereka.

Semua permasalahan ada penyelesaian namun sejauh manakah penyelesaian yang direncanakan dan dilakukan itu mampu membendung masalah yang saban hari berparut pada mereka yang terlibat. Antara langkah awal yang dapat diambil adalah langkah pencegahan. Pencegahan bermula daripada seseorang individu itu sendiri dengan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Tanggungjawab melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini terletak di setiap bahu setiap orang yang telah mengucapkan penyaksiannya kepada Allah dan Muhammad sebagai pesuruh-Nya. Meskipun perkara ini seolah-olah kecil dipandangan mata namun hakikatnya tidak semua mampu dan mahu menyahut seruan ini. Oleh itu, kita sebagai individu Muslim mesti melihat kepada perkara pokok dahulu yang telah digariskan oleh Islam kearah menjadi mukmin yang sejati.

Daripada individu, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dalam keluarga dan masyarakat. Ini adalah satu jalan dalam melahirkan generasi yang baik dari semua aspek. Dalam pada itu, seseorang yang diangkat sebagai pemimpin seharusnya menegakkan kebenaran di bumi ini dengan kuasa yang ada padanya. Dengan kepimpinan yang baik, sesebuah negara dapat membendung permasalahan yang berlaku dengan izin-Nya seterusnya dapat melahirkan sebuah penguasaan yang syumul, lengkap dari semua aspek kehidupan.

Bagi mengatasi masalah yang sedang berlaku pula, pemuliharaan dan pemeliharaan seharusnya bergerak seiring dengan pencegahan. Bermula dengan penyelesaian masalah daripada punca nya, penyelesaian mestilah digerakkan oleh semua pihak termasuklah individu sendiri sebagai contoh mengamalkan cara hidup beragama, menjaga hubungan baik sesama manusia dan membuat kebaikan di dunia ini.

Tidak dinafikan pelbagai cara dapat dilaksanakan untuk membendung masalah ini. Namun pada pandangan saya, kembali kepada asal adalah satu perkara utama yang perlu dilihat oleh semua pihak kerana masyarakat kini lebih suka mengambil tindakan dan penyelesaian yang mencapah (grass problem) yang bersifat sementara daripada punca utama (root problem). Sekiranya punca utama dapat dikembalikan, maka akan kurang perkara-perkara furu’ yang perlu dilaksanakan. Punca yang telah digariskan juga berdasarkan maqasid syariah daruriyat dimana agama, nyawa, akal, keturunan dan harta antara penyebab secara zahirnya dapat dilihat dalam masyarakat sekarang.

Terrorisme bukanlah suatu perkara yang jumut sekiranya pemikiran rakyat dapat dijernihkan kembali dengan perkara yang sebenar. Terrorisme tidak hanya pada Islam semata-mata malah dalam masyarakat juga berlakunya keganasan yang tanpa kita sedari. Maka dengan usaha daripada beberapa pihak diharapkan dapat menjernihkan kembali suasana yang mengeruhkan keadaan disekeliling kita dengan ajaran agama yang sebenar, bukanlah sebagai pengikut semata-mata.

Tiada ulasan: