Selasa, 26 Oktober 2010

::Isu Palestin Dan Kesannya Ke Atas Hubungan Antarabangsa::



"Life is Shorter Than Most Have Thought"

Isu Palestin sememangnya sudah lama berlaku sejak tahun 1948. Kini sudah lebih enam dekad isu ini dimainkan oleh Israel dalam menindas hak asasi warga Palestin dengan menceroboh dan merampas kedudukan Palestin di tanah air mereka. Pembunuhan dilakukan secara kejam tanpa belas kasihan dan telah mencabuli hak kehidupan terhadap rakyat Palestin terutama kanak-kanak dan wanita. Israel juga dengan sewenang-wenangnya melanggar hak keamanan sebagaimana yang dinyatakan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan yang telah digariskan dalam UDHR. Tambahan pula, Israel telah melanggar hak kebebasan daripada seksaan, hak daripada dikenakan tahanan, hak untuk taraf hidup dan hak untuk bergerak terhadap warga dan lain-lain Palestin. Penguasaan Israel ditanah-tanah Palestin dikikis sehari demi sehari.

Pada tahun 2009, umat Islam seluruh dunia dimulakan dengan menyaksikan konflik di Gaza dimana peperangan yang mempertemukan kekuatan yang tidak seimbang antara tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas ini. Peperangan ini bermula pada Disember 2008. Pada awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu melancarkan serangan udara. Peperangan berakhir pada 18 Januari, iaitu dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat,Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas peperangan, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel.

Penindasan ekonomi terhadap rakyat Palestin adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Rakyat Palestin adalah mangsa kepada sebuah kekejaman yang diterajui oleh Israel yang mana sekatan ekonomi patut dikenakan. Israel yang melakukan pencerobohan dan merampas negara Palestin, bahkan mencabar dan tidak menghiraukan resolusi-resolusi PBB yang menyentuh pendudukannya ke atas Baitul Maqdis Timur dan Tebing Barat yang ditawan pada tahun 1948 untuk diisytiharkan sebagai ibu negara satu yang abadi bagi Israel. Namun, sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas rakyat Palestin hanya mengukuhkan lagi sokongan rakyat kepada Hamas, bahkan sokongan dunia Islam ke atas perjuangan Hamas. Sumbangan kewangan daripada umat Islam kini terkumpul dari seluruh dunia untuk membantu saudara-saudara mereka yang dizalimi di Palestin. Buktinya, pada bulan Julai, hasil dari sumbangan umat Islam dari seluruh dunia, kerajaan Hamas berjaya membayar gaji kakitangan kerajaan yang sudah lama tertunggak.

Reaksi di dunia Islam termasuk pemboikotan terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain diuar-uarkan secara besar-besaran bagi melumpuhkan ekonomi utama AS yang menjadi penyumbang utama dalam siri keganasan terhadap Palestin. Meskipun di Palestin sendiri sukar untuk mengembangkan ekonomi mereka, namun bantuan daripada seluruh dunia saling berterusan. Secara logiknya, ekonomi Palestin sukar berkembang kerana penindasan dan peperangan telah berlaku sekian lama dan rakyat hanya tertumpu pada peperangan sahaja. Tindakan dunia telah bersetuju untuk melaksanakan pemboikotan secara berterusan bagi menyatakan bantuan mereka terhadap Palestin.

Dari sudut sosial, banyak kemudahan-kemudahan di tanah Palestin dimusnahkan seperti sekolah-sekolah, hospital dan rumah-rumah sehari demi sehari. Rakyat Palestin sendiri telah dipenjarakan di tanah air sendiri dengan terdirinya benteng-benteng tebing yang tinggi, memisahkan hubungan rakyat Palestin dengan hubungan luar. Kerajaan Hamas dilihatkan oleh Amerika sebagai sebuah organisasi pengganas, malah mereka turut dipulaukan. Pemimpin-pemimpin negara Islam takut untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada Hamas malah enggan menerima sebarang kunjungan diplomatik dari kerajaan Hamas di negara masing-masing. Namun begitu, kesan yang jelas ketara pada hari ini, umat Islam dari kalangan rakyat negara-negara Islam pada hari ini bersedia untuk menghulurkan bantuan dan bertindak sebagai jurucakap kerajaan Hamas di negara masing-masing. Mereka bertindak secara berterusan untuk turun membantu rakyat Palestin di negara masing melalui pertubuhan-pertubuhan NGO yang khusus di negara masing-masing. Kini dapat dilihat wujudnya kesatuan di beberapa negara yang mengambil berat isu Palestin daripada dimain-mainkan oleh Israel. Sejak tercetusnya kisah hitam terhadap aktivis-aktivis bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam kapal Marvi Marmara dan Rachel Corrie yang dibawa masuk melalui jalan laut diragut sewenang-wenangnya oleh tentera Israel telah membuka mata dunia. Beberapa pemimpin negara bangkitmenyatakan kutukan terhadap perbuatan tentera Israel secara terbuka. Sebagai contoh, perdana menteri Iran, Ahmadinejad antara pemimpin tegar memberi kutukan terhadap AS dan sekutunya.

Oleh yang demikian, kita sebagai umat manusia yang mengangkat keamanan dalam menjalani kehidupan seharusnya membantu warga Palestin yang dibelenggu penindasan hak asasi secara tegar dan berterusan. Pemimpin-pemimpin negara seharusnya menggesa dan menuntut keadilan terhadap isu berkenaan malah menjadi jurucakap di negara masing-masing. Solusi yang berkesan untuk mengecilkan pengusaan Israel dan sekutunya adalah melalui pemimpin negara yang tegar berdiri di mata dunia dalam menegakkan keadilan dan keamanan, rakyat yang bersatu dan bangun mengatasi penindasan dan melumpuhkan ekonomi yang menjadi lubuk emas dalang penindasan Palestin.

Mereka akan terus berjuang demi agama Allah..
kita disini jadilah diantara kuntum-kuntuman syurga.
teruslah kalian bersama-sama mereka!!! ALLAHU AKBAR!!!
~ad-doa' silahul mukmin~


**terima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu memberi sumbangan untuk saya menyiapkan secoret nukilan berkenaan tajuk di atas. tanpa sokongan kalian, saban hari diri ini membatu dan buntu untuk meneruskan penulisan. maaf, penulisannya agak tidak berapa baik, kerana diriku tahu belum lagi mampu menjadi seorang penulis yang baik...**

~pengenalan hubungan antarabangsa: isu hak asasi manusia dan kesannya ke atas hubungan antarabangsa~

2 ulasan:

budak gaza berkata...

jihad fisabilillah..=)
Allahuakbar..

Unknown berkata...

sy suka tgk gambar last skali tu.... seakan memneri makna yang sangat besar.. seolah-olah seorang pemegang 'panji'