Selasa, 16 November 2010

::Ada SeSuaTu YaNG BeRbiCaRa::

"Dan bahawasanya Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."

(Surah :An-Najm : ayat 43) Tafsiran Ringkas

Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangisan, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil, namun ia tidak pernah kering, ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti? Jika air mata itu ditampung banjirlah dunia ini.


Tangis

Menangis ada yang tercela dan terpuji. Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah saw bersabda: Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir.

Air mata yang tiada di tuntut:

1) Janganlah menangis kalau tidak tercapai cita-cita. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya.
2) Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
3) Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
4) Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Dari itu, simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik-bintik hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah S.W.T.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud:

"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah"
(Ar-Rahman-ayat 37)

Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:
"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang sungguh nasibku ini. "
Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."
Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi Mubammad s.a.w.:"Tunjukkan daku jalan kearah keselamatan."
Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:"Jangan banyak bercakap dan tinggallah dirumah sambil menangis mengenangkan dosa-dosamu."
Aishah telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:"Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?"
Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:"Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segala dosa-dosanya yang telah ia lakukan."

Nabi Muhammad s.a.w.:

"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah, Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya."

Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa-dosa dan moga-moga akan mendapat ampunan-Nya jua.


Gelak Ketawa


Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya jika berlebihan. Ibn Mas'ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya.

Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.

Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin :

(1) Kerana memikirkan akhirat
(2) Kesibukan mencari keperluan hidup
(3) Risau memikirkan dosa
(4) Apabila tibanya musibah dan bala.


Menurut Islam, sesiapa yang meninggalkan bergelak tertawa akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai." (Hadis Sahih).

Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa. Contohnya ialah seperti berlawak jenaka di mana seseorang akan berlagak dan mengeluarkan kalimah yang menyebabkan orang lain tertawa. Menurut riwayat dari Ibrahim Annakhari beliau berkata: "Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah S.W.T. murka padanya lalu murka Allah itu merata kepada orang-orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang direda oleh Allah, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah itu diperolehi juga oleh orang di sekitarnya."

Seseorang yang suka berlawak, berjenaka atau berolok-olok supaya orang lain tertawa, balasannya di akhirat ialah dimasukkan ke neraka "Wail''. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Neraka wail itu buat orang yang bercakap-cakap dengan berdusta dan berolok- olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia." (Hadis dikeluarkan oleh Imam yang tiga: Riwayat Bahaz bin Hakim).

Dalam Hadis itu Rasulullah S.A.W. mengulang kalimah "neraka wail itu untuk dia" sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa dan berjenaka. Islam memberi peringatan bahawa semakin kuat hilai dan tertawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa berbahak-bahak menari-nari untuk melalaikan dia. Maka itu kita perlu awas daripada bergelak tertawa kerana perbuatan itu mengandungi lapan bahaya :

(1) Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurn a akal.
(2) Memberanikan orang bodoh kepada kita.
(3) Jika bodoh akan bertambah kebodohannya, jika alim akan berkurangan ilmunya kerana seorang alim yang tertawa bererti telah memuntahkan ilmunya
(4) Melupakan dosa-dosa yang lalu.
(5) Melupakan mati dan akhirat.
(6) Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya akan membekukan hati.
(7) Menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawaan kita.
(8) Akan banyak menangis di akhirat.


Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada Allah. Banyakkan menangis kerana Allah dari ketawa yang sia-sia .

original artikel: http://roslan2u.blogspot.com/2010/10/dan-bahawasanya-dia-lah-yang-menjadikan.html


tinta annafs:
  1. Tiada dalam hidup ini, ada manusia yang bergembira sepanjang masa. Maka, pasti dalam lembaran hidup itu ada 'petikan' yang menggores luka, meninggalkan parut. Isian nya pasti tangisan. Hanya bezanya jenis tangisan tersebut-kerana Allah, harta, benda, manusia dan sebagainya....
  2. Indahnya saat pabila hadirnya 'seseorang' disisi yang menenangkan kita saat kita dalam tangisan melepaskan rasa yang terbungkam.. Benar??
  3. 'Seseorang' itu adalah lebih indah jika hanya padaNya kita mengadu, menghina diri atas kejahilan kita sebagai hambaNya. 'Seseorang' itu tidak lain tidak bukan; ALLAH yang kadang-kala kita lupa merintih padaNya, kita lupa yang Hanya Dia sahaja mendengar tangisan syahdu kita, dan Hanya Dia yang menenangkan kita.. Malangnya, hanya kita yang lebih suka memilih pada yang bukan pada Dia..
  4. Ruginya 'aku' kerana selama ini menangis kerana kecewa dengan qada' qadar yang menimpaku, walhal dalam bait-bait kataMu ada mengatakan, semua itu atas kemampuan hambamu. tidak Engkau membebankan hambanya sesuatu yang tidak mampu dipikul. Ya ALLAH....
  5. Pada masa yang sama, kita tak sedar telah di uji dengan pelbagai ujian. UJIAN?? Ya! semua ini adalah ujian... hatta apa yang ada disekeliling kita. duit, buku, internet, facebook, girlfriend, boyfriend, lain-lain...
  6. Senangnya manusia ini melakukan dosa bak air yang mengalir. Setiap detik pasti adanya perkara yang dalam sedar mahupun tidak, kita menempah tiket ke neraka. Namun, dosa-dosa kecil itu mampu di rawat dengan pengabdian diri kita Maha Penerima Taubat.
  7. Perlunya kita pada pengabdian diri pada Yang Maha Esa, hablum minnallah. Kerana hanya PadaNya kita dikembalikan.
  8. oleh itu, sebelum menghabiskan entri kali ini, sama-samalah kita mengucapkan astaghfirullahal a'zim (10x), sambil bermusabah terhadap dosa-dosa yang kita lakukan selama ini.


" Ya ALLAH, kepadaMu aku menyerahkan diri, kepadaMu aku beriman, atasMu aku bertawakkal, kepadaMu aku kembali, bersamaMu aku menghadapi musuh dan dihadapanMu aku akan di adili, ampunilah dosaku yang telah lalu dan dosaku yang akan datang, dosa yang telah aku sembunyikan dan dosa yang aku nampakkan, dan dosa yang hanya Engkau yang mengetahuinya. Engkau yang tidak berawal dan tidak berakhir, tiada yang patut disembah selain Engkau, tiada padaku daya dan kekuatan hanya daya dan kekuatanMu. Ya Tuhan kami yang Maha Tinggi dan Maha Besar "

~Petikan doa Tahajjud~


Menangislah Di Bahu Ku

~Firdaus~

kau datang padaku seperti biasa
ku sambut bahagia dengan tangan terbuka
kau balas dengan senyuman seadanya
ku tahu ada sesuatu yang berbeza

kau hanya diam seribu bahasa

hanya di matamu yang cuba berbicara
bahwa saat ini hatimu terluka
kau tahu ku ada di sini untukmu

mencuba tak berkedip

menahan tegar di hujung mata
hingga kau pun tak kuasa
berderailah airmata
dalam pelukku kau curahkan semua

menangislah...

kadang manusia terlalu sombong tuk menangis
lalu untuk apa airmata telah dicipta
bukan hanya bahagia yang ada di dunia
menangislah...
di bahuku kau berikanku kepercayaan
bahwa laramu adalah haru biruku
kerna ku adalah sahabatmu

menangislah...
(dibahuku ku disini untukmu)

menangislah...(dibahuku kerna ku sahabatmu)

**entri ni sangat syahdu bila membaca dengan muzik iringan ni.... isk3...

Tiada ulasan: