Rabu, 8 Jun 2011

::Eh! AkU HaiD Ke IsTiHaDHaH?::


Khas, catatan untuk yang digelar muslimah tapi tidak terhad bacaan nya. Sesama wanita mesti difahami tentang perkara ini kerana ia berlegar di kitaran bulanan kita. Lelaki juga tak kurangnya, jangan hanya kerana perkara ini berlaku pada wanita maka si lelaki tidak perlu mengambil tahu? Oh, silap. Itu tanggapan salah. Katanya, si lelaki inilah bertanggungjawab terhadap keluarganya. Oleh itu, salah satunya adalah memberi didikan agama kepada isteri dan anak-anak. Maka, jomlah membaca bersama-sama. Jom2!

************************

Hari seterusnya, Dr Muslih melangkah ke Wad Gynecology dengan azam yang tinggi. Langkah seorang da'i. Kaum hawa perlu diingatkan tentang kewajipan mereka terhadap Pencipta. Dr Muslih membuat rondaan seorang diri dari katil ke katil sebagai persediaan untuk membentangkan laporan setiap kes kepada pakar nanti.

Sebaik sahaja tiba di katil nombor 7, kelihatan pesakitnya ditemani oleh seorang rakan. Dr Muslih segera menyapa pesakitnya, "Assalamualaikum, Puan Hatiah. Macam mana hari ni?" Dr Muslih tidak mahu tergesa-gesa bertanya tentang solat meskipun persoalan itu membuak-buak dalam diri.

"Ubat yang baru akak dapat semalam tu nampak berkesan. Darah dah makin berkurangan, tapi masih ada sikit-sikit," jawab Puan Hatiah.

"Alhamdulillah kalau dah makin baik. Lepas ni senanglah nak solat sebab darah dah makin sikit keluar," kata Dr Muslih.

"Yalah doktor, dah sebulan akak tak solat sebab darah haid ni," kata Puan Hatiah membuat pengakuan.

"Eh, sebulan tak solat?" tanya Dr Muslih, menguji.

"Yalah, mana boleh solat dengan darah haid ni. Kena kering dulu baru boleh solat," jawab Puan Hatiah mempertahankan kata.

"Eh, ni bukan darah haid lagi dah. Ni namanya darah istihadhah. Puan wajib solat, ia tak sama dengan haid."

"Akak memang dari dulu tak faham-faham bab haid dan istihadhah ni. Macam mana akak nak tau darah tu haid atau istihadhah?" tanya Puan Hatiah kehairanan.

"Darah istihadhah tu darah penyakit. Maksudnya darah yang keluar selepas tempoh haid. Darah haid pula terjadi kepada wanita secara semula jadi dan ia berlaku pada tempoh tertentu. Darah haid ni juga bersifat normal, bukan disebabkan oleh sesuatu penyakit, luka, keguguran atau pun kelahiran," terang Dr Muslih.

"Ya ke? Kenapa akak tak tau pun?" tanya Puan Hatiah perlahan seakan-akan kepada dirinya sendiri.

"Dah kau tak pergi masjid. Rumah kat tepi masjid tapi malas pergi dengar orang ceramah. Sebab tu kau jahil," kata kawan yang menemaninya.

"Eh, macamlah kau tu tau sangat," kata Puan Hatiah lawan bertekak.

"Aku tahulah sikit-sikit pasal bab ni. Suami aku ajar," jawab kawannya.

"Doktor, sebenarnya teori panjang-panjang yang doktor sebut tadi tu, agak pening sikit akak nak tangkap. Senang cerita, akak spesifikkan kes akak ya. Macam ni, biasanya haid akak tujuh hari je. Tapi kali ni darah keluar terus menerus. Macam mana?" Puan Hatiah mengalihkan kembali perhatian kepada Dr Muslih.

"Darah tu berbeza tak dengan darah sebelum ni? Maksud saya, kalau darah haid, ia berwarna kehitaman, berbau tengik dan pekat. Kalau darah istihadhah pula ia berwarna merah cair, tak berbau dan tak pekat."

"Ha'ah berbeza. Yang hari ke lapan tu merah cair sikit," jawab Puan Hatiah.

"Kalau macam tu, puan dikira ada adat dan ada tamyiz. Ada adat maksudnya ada kebiasaan iaitu tujuh hari. Ada tamyiz pula maksudnya boleh membezakan jenis darah. Bila puan ada adat dan ada tamyiz begitu, maka, puan kenalah menganggap haid puan itu tempohnya hingga tujuh hari sahaja. Hari ke lapan tu dah dikira istihadhah," simpul Dr Muslih.

"Eh, kan mazhab Syafi'i kata, tempoh paling lama haid lima belas hari. Kenapa tak tunggu lima belas hari dulu baru dikira darah istihadhah?" kawan Puan Hatiah menyampuk. Ragu.

"Ya, itu betul bagi orang yang tiada tempoh kebiasaan yang tetap dan tak boleh pula membezakan jenis darahnya. Biasanya terjadi kepada orang yang keluar darah terus-menerus. Maka Imam Syafi'i meletakkan tempoh 15 hari supaya dalam masa sebulan tu dia tetap ada masa sucinya untuk menunaikan solat," terang Dr Muslih lagi.

"Kalau saya tiada tempoh haid yang tetap tapi boleh bezakan darah?" kawan Puan Hatiah mengemukakan kes baru.

"Eh, kau ni. Tadi kata tau sangat. Kes macam tu pun nak tanya. Mudah aje. Mestilah tengok pada perbezaan darah tu. Betul tak, doktor?"sindir Puan Hatiah kepada temannya.

"Ya, betul tu! Mudah cerita, kalau tak ada adat kebiasaan, ada tamyiz, ikut tamyizlah. Begitulah sebaliknya. Ingat lagi maksud tamyiz?" ujar Dr Muslih, cuba membiasakan mereka dengan istilah fiqh wanita tersebut.

"Ingat... "jawab mereka serentak.

"Macam itulah, puan. Puan kena mandi wajib dan solat macam biasa. Moga Allah ampunkan apa yang tak tahu dan tak disengajakan yang lepas-lepas. Sebaik-baiknya qada balik," kata Dr Muslih sambil berlalu ke katil sebelah.


Aku Haid ke Istihadhah??


Masalah 1: Masa haid tidak teratur.

Ada beberapa hal yang terjadi di luar kebiasaan haid:

1) Bertambah atau berkurangnya masa haid
Misalnya seorang wanita biasanya haid selama enam hari, tetapi tiba-tiba haidnya berlangsung sampai tujuh hari atau sebaliknya, biasanya haid selama tujuh hari tetapi tiba- tiba suci dalam masa enam hari.

2) Maju atau mundur waktu datangnya haid
Misalnya, seorang wanita biasanya haid pada akhir bulan, lalu tiba-tiba haid datang pada awal bulan. Atau biasanya haid pada awal bulan, lalu tiba-tiba haid datang pada akhir bulan.

Penyelesaian: Mazhab Imam Syafi'i, Syaikhul Islam Ibn Taimiyah dan Ibn Qudamah Al-Hanbali (Pengarang Kitab al-Mughni):

Seorang wanita jika mendapati darah (haid) maka dia berada dalam masa haid, dan jika tidak mendapatinya maka dia dalam keadaan suci, meskipun masa haidnya melebihi atau kurang dari kebiasaannya serta maju atau mundur dari waktu kebiasaannya.


Masalah 2: Darah haid yang keluar terputus-putus, misalnya, hari ini keluar, esok tidak keluar, atau yang sejenisnya.

Penyelesaian: Pendapat Imam Syafi'i, Syaikhul Islam Ibn Taimiyah dan pengarang kitab al-Faliq, juga merupakan Mazhab Imam Abu Hanifah.

DALAM HAL INI TERDAPAT 2 KEADAAN:
Jika hal tersebut selalu terjadi pada seorang wanita setiap waktu (bukan masa haid), maka darah itu adalah darah istihadhah, dan berlaku baginya hukum istihadhah.

Jika hal tersebut kadangkala sahaja datang dan mempunyai saat suci yang tepat (berdasarkan kebiasaanya setiap bulan). Maka menurut pendapat yang paling sahih, jika belum keluar lendir putih sebagai tanda masa haid berakhir, masa tersebut (masa darah putus) masih dihukumi masa haid.

Rasional Hukum: Kerana jika masa terputus tersebut dihukumi masa suci hal itu pastilah akan menyulitkan perhitungan masa idah berdasarkan quru' (haid dan suci). Perhitungan Quru' (haid atau suci) akan berakhir dalam masa lima hari sahaja.

Begitu pula jika dijadikan sebagai keadaan suci, nescaya akan menyulitkan kerana harus mandi dan lain sebagainya setiap dua hari dan juga akan memberatkan kerana harus mandi wajib beberapa kali. Padahal tidaklah syariat itu menyulitkan.

Masalah 3: Terjadi pengeringan darah, yakni, seorang wanita tidak mendapati selain lembab atau basah sahaja di kemaluannya.

Penyelesaian: jika hal ini terjadi pada saat masa haid atau bersambung dengan haid sebelum suci, maka dihukumi sebagai haid.

jika terjadi setelah masa suci, maka tidak termasuk haid.

Berdasarkan riwayat yang disampaikan oleh ummu Athiyah r.ha. :

Maksudnya: Kami tidak menganggap sesuatu apa pun (haid) darah yang berwarna kuning atau keruh sesudah masa suci.


Masalah 4: Apabila keluar kekotoran yang tidak menyerupai darah, wadi, mazi atau mani. Apakah itu?

Penyelesaian:
1) Jika berwarna kuning seperti nanah atau keruh antara kekuning-kuningan dan kehitam- hitaman dan hal itu terjadi pada saat masa haid atau bersambung dengan haid sebelum suci, maka itu adalah haid dan berlaku baginya hukum-hukum haid.

2) Tetapi jika terjadi sesudah masa suci, maka hal itu bukanlah darah haid. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ummu Athiyah r.ha. :" Kami tidak menganggap apa-apa darah yang berwarna kuning atau keruh sesudah suci". (Hadis Riwayat Abu Dawud)




- petikan daripada Novel Denyut Kasih Medik.
- ramainya wanita yang tak tahu lagi bab istimewa ini, tetapi belum tentu juga yang dah tau, tahu semuanya. Ada yang tau sikit2.
- peranan memahamkan bab fiqh wanita ini bukan sahaja terletak pada ustazah, wanita, tetapi juga ulama, suami, lelaki. Tanpa mereka, siapa yang mampu mengajar mereka yang tidak tahu ini. Silap-silap haribulan, membiarkan mereka terus tanpa tahu apa-apa. Kasihan wanita.
- jika tidak mampu memahami, rujuklah pada mereka yang lebih arif.

wallahualam...







8 Jun 2011
6 Rejab 1432 H
4.43 ptg

Tiada ulasan: