Isnin, 28 Mei 2012

::4 PeRKaRa::

Perkongsian tentang 4 Perkara, ada juga yang kata 3 Perkara (bukan 3 kata ye.. ^_^), dan tidak kurang juga ada yang menyatakan 5 perkara. Walau apa pun bilangan nya, yang ingin dikongsikan disini adalah subjek perkara tersebut. Semoga perkara ini menjadi amalan kita sementara kita masih berkemampuan... 

4 Perkara, yang apabila kita melihatnya/memandangnya, beroleh PAHALA (Insya Allah):
  1. IbuBapa
  2. Al-Quran
  3. Kaabah
  4. Lautan

IBU BAPA
Sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah kepada kedua ibu bapa kita, sama ada masih hidup ataupun yang telah pergi dijemput Ilahi. Semoga yang masih hidup, diberi keberkatan dan keredhaan sepanjang masa yang sedang dilalui, dan yang telah dijemput dahulu, semoga dengan hadiah ini dapat membantu mereka di alam sana, justeru menyampaikan amalan yang berterusan kepada kedua ibu bapa kita. amin... 



"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun[1180]. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu"

[surah Luqman; ayat 14]




Tidak dinafikan jasa seorang yang dinamakan mak, ibu, mama, ma, umi, mami dan sebagainya terzahir sejak kita lahir lahir. Betapa setiap jerih perih hidup seorang insan ini tak mampu dibayar dengan mana-mana nilai harta sekalipun, hatta bergelar jutawan mahupun hartawan. Dialah yang mengandungkan, melahirkan, menyapih (menyusukan), membesarkan dan segala pengajaran yang diberikan sepanjang proses pembentukan diri kita terlalu sedikit yang dapat dibalas. Dialah satu, tiada dua mahupun tiga dan empat. Begitu juga halnya dengan insan bernama ayah, abah, papa, abi, daddy dan sebagainya yang bersusah payah mengerah keringat dan membanting tulang bagi mendukung dan mengimami tanggungjawab membina sebuah keluarga. Kombinasi ibu dan ayah inilah terlalu infiniti nilainya di sisi setiap seorang anak yang berjaya lahir ke dunia. Jasa dan pengorbanan ibubapa mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT. Lihatlah, renungilah wajah mereka tatkala masih berpeluang mendapat pahala yang berterusan.


Ibu Ayah
Ku renungi lautan dalam
Namun kasih dan sayangmu
Tak terbanding dengan dalamnya dasar lautan itu

Ibu Ayah
Ku renungi luasnya langit di atasku
Namun tak bisa menandingi
Luasnya pengorbananmu
Selama aku hidup di dunia ini

Ibu Ayah
Aku lemah
Aku kaku
Aku bisu
Engkau tuntuni aku 
Engkau sayangi aku 
Engkau lindungi aku
Tiada engkau tiadalah aku
Tiada engkau keruanlah aku

Ibu Ayah
Ku renungi kamu
Biarlah bisu kumenatapmu
Tapi tidak buta mata hatiku 
Akan ku terus doakan padamu
Doa agar dirimu mendapat bahagia 
disisi Tuhanku (Allah)
Doa  ku agar bisa menjadi seperti dirimu kelak
Amin ya Rabbal A'lamin




AL-QURAN 
Sungguh, cukuplah sekadar di meja masing-masing ada kitab Al-Quran. Saban hari singgah di meja, dilihat Al-quran itu beroleh pahala. Apatah lagi jika kita menyentuhnya, membukanya, membacanya, lalu memahami serta mentadabbur ayat-ayatNya. Lebih indah apabila kita mampu melaksanakan dan mengamalkan ayat-ayatNya. Dengan terzahirnya kitab pada diri kita, memberi motivasi untuk kita mendekatinya(al-quran). Al-Quran, mukjizat Nabi Muhammad SAW yang masih kekal hingga ke akhir zaman, kandungannya tidak pernah luput ataupun out-of-date malah relevan sepanjang zaman. 

"Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.)."
(Imam Malik).

Begitu juga halnya, Al-quran dijadikan koleksi di rumah, di surau, masjid, pejabat dan dimana-mana tidak memadai dengan hanya tersusun rapi di atas rak almari. Menangislah kita apabila kita tidak mampu untuk mencapai Al-Quran itu, membacanya, memahami dan mentadabburnya serta mengamalkannya. Menangislah, kerana kita punya masalah hati, hati kita makin jauh dengan hidayah Ilahi. Menangislah kerana kita terlalu leka memilih keseronokan nikmat dusta duniawi berbanding nikmat akhirat nanti. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mengejar kebaikan, bukan menunggu kebaikan melintasi kita.

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa"
[Al-Baqarah; ayat 2]
KAABAH
Ramai menyatakan rasa rindu untuk menjadi tetamu Allah, ramai jua yang rindu untuk kembali semula ke sana, ramai jua yang rindunya kesampaian dengan izin Allah namun tak kurang juga rindunya tidak kesampaian. Itulah tempat bumi barakah yang menjadi tumpuan ibadah seluruh umat Islam tatkala berkunjung tiba ke Makkah Al Mukarramah. Penangan tempat tumpuan ibadah seantero dunia ke Makkah ini, lebih spesifik ke Kaabah telah mengundang banyak peristiwa sejak zaman berzaman. Peristiwa pembinaan semula Kaabah oleh anak-beranak nabi Ibrahim dan Ismail, Peristiwa Tentera Bergajah, banjir Besar dan lain-lain. Sungguh, Kaabah punya sesuatu yang tak mampu terungkap dan terjangkau oleh keterbatasan akal manusia. Semoga Allah mengizinkan aku menjadi salah satu tetamunya suatu hari nanti. Amin... 


LAUTAN 
Pada penciptaan langit dan bumi menunjukkan bukti kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa terhadap segala sesuatu. Maha Suci Allah, Subhanallah yang memberi keindahan dan keagungan pada penciptaanNya. Selain langit dan bumi 7 lapisan dan lain-lain, laut jua merupakan salah satu bukti kebesaran Allah SWT. Ada manusia mendapat ketenangan melalui desiran ombak laut memukul pantai dan beralun-alun dipermukaan. Keindahan semulajadi lautan dan pantai mengagumkan kita sebagai hambaNya yang lemah dan tiada kuasa. 

Maka nikmat Tuhanmu manakah yang kamu dustakan?


Maka, dengan 4 perkara tersebut, bukanlah sukar untuk diamalkan. Mudahkan Allah menyediakan peluang kepada hambaNya mengutip pahala? (^_^). Sama-samalah kita beramal dan saling mengingat sesama saudara. 


*sebarang penulisan di sini bukanlah bertujuan menunjuk atau sewaktu dengannya, namun sekadar coretan peringatan bagi yang selalu lupa. Bukan jua untuk berlagak dengan kebaikan namun cukup sekadar menyampaikan apa yang faham tentang ilmu yang terlalu sedikit ini. Jika ianya seperti nasihat untukmu, percayalah bahawa penulis ini sedang berbicara menasihati dirinya berbanding menasihati orang lain. Maaf segala salah silap pada setiap perkongsian, semoga kita sama-sama mencari ilmu. Biarlah ilmu yang sedikit, tapi mampu untuk diamalkan. Jangan diminta ilmu yang lebih, tapi tak bisa kita mengamalkannya. "Ilmu tanpa Amal ibarat Pohon tanpa Buah." Tumbuhnya pohon atas Rahmat Allah yang dikongsi oleh orang lain, namun tumbuhnya pohon itu tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Wallahualam... 







28 Mei 2012M
7 Rejab 1433H
2:51am



2 ulasan:

emi berkata...

mata untuk melihat..

Unknown berkata...

"ada mata untuk melihat"
mata ada 2 jenis:
1) mata zahir; untuk melihat perkara zahir di pandangan mata
2) mata hati; untuk melihat apa yg tesirat disebalik kejadian yang terjadi