Saat-saat
akhir Ramadan ni, pasti sebahagian daripada kita turut menyibukkan diri untuk
persediaan Syawal yang bakal tiba tak lama lagi. Tengok saja lah di kotaraya
dan pusat bandar, manusia berpusu-pusu mengimarahkan gedung-gedung jualan Mega
Sales Hari Raya. Bagai disodok ribuan manusia dek kepadatan mereka di sana.
Alangkah indahnya jika jumlah ini juga yang mengimarahkan rumah-rumah Allah
lebih-lebih lagi di bulan mulia ini.
Baju Raya
Sebenarnya,
apa yang dicari oleh manusia pada ketika ini?
Persiapan
raya? Ya, sudah semestinya. Ia memang menjadi kelaziman apabila tiba bulan
Ramadan. Semuanya kalau boleh ikut sunnah nabi, bergembira di hari raya &
berpakaian terbaik pada hari Syawal nanti. Baju raya, kasut raya, songkok,
tudung semuanya nak baru. Tidak hairanlah ramai antara kita berbelanja besar
untuk hari raya ini. Walhal Nabi Saw menganjurkan umatnya untuk berpakaian
terbaik di hari tersebut, bukanlah mesti berpakaian baru.
Pernahkah
kita terfikir disaat kita membeli baju raya itu, itulah pakaian terbaik kita? Bagaimana
pula dengan orang-orang yang kurang bernasib baik seperti kita yang hanya kitar
semula pakaian mereka ataupun menerima pakaian-pakaian pemberian insan berhati
mulia? Adakah itu juga dikira pakaian terbaik? Ataupun pakaian terbaik itu
adalah baju-baju yang bersilau-silau dengan kilauan manik, labuci, kain tinggi
kualiti, mahal dan sebagainya?
…
Baju Puasa
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan
atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu
bertakwa.”
-
Al-Baqarah, ayat 183
Tuntutan berpuasa telah diwajibkan ke atas umat Islam keseluruhannya
malah juga umat-umat yang terdahulu. Bila tiba bulan Rejab, menghampiri pula
bulan Syaaban dan akhirnya tiba di bulan Ramadan, ramai di antara kita sudah
membuat persediaan untuk melipatgandakan amalan-amalan di bulan mulia ini. Bulan
yang penuh barakah, banyak kebaikan tersedia di dalamnya bagi mereka yang
berusaha meraihnya. Apatah lagi dijanjikan dengan pahala amalan yang
berganda-ganda; pahala amalan sunat diganjari pahala seperti pahala amalan
wajib, pahala amalan wajib pula diganjari hingga boleh mencecah kepada 70 kali
ganda. Masya Allah…
Malam-malamnya dihiasi dengan satu-satunya ibadah Terawih,
berqiamullail. Bulan yang dibahagikan kepada 3 fasa; Fasa 1-kerahmatan, Fasa
2-keampunan (maghfirah), Fasa 3-dilepaskan dari neraka. Sejuk hati melihatkan
ramai manusia berpusu-pusu mengimarahkan rumah-rumah Allah, masjid dan
surau-surau bagi mengerjakan qiamullail ini, ditambahi pula Qiamullail di fasa
ke-3 untuk mengejar amalan pahala 1 malam itu lebih baik daripada 1000 bulan
yakni Lailatul Qadr.
Usai iftar/berbuka puasa, manusia bergegas mempersiapkan diri
untuk solat bersama-sama jemaah di masjid atau surau apabila tiba Isyak. Lelakinya
dengan segak berbaju melayu, berjubah walaupun selama ini jarang-jarang sekali
pakai apabila solat. Mungkin kalau rajin seminggu sekali, semasa solat Jumaat. Perempuannya
dengan bertelekung seawal dari rumah walaupun selama ini jilbabnya tidaklah
sempurna. Semuanya sama-sama menuju ke 1
destinasi. Menghambakan diri kepada Pencipta.
…
Baju Raya vs Baju Puasa
“
Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk
menutupi auratmu dan perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah yang
lebih baik.
Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.”
-
Al-A’raf, ayat 26
Ada yang menganggap, baju raya dan baju ketika mengerjakan ibadah
semasa puasa sama sahaja. Ada juga yang membedakannya. Terpulang kepada selera
iman masing-masing. Tetapi Allah telah berfirman seperti ayat di atas, bahawa
pakaian yang terbaik adalah PAKAIAN TAKWA. Maka, berfikirlah kita sejenak,
adakah amalan kebiasaan kita kini dan selama ini membawa kita kepada takwa? Adakah
dengan anjuran berpuasa di bulan Ramadan itu, kita mampu mencapai takwa seperti
firman Allah dalam ayat 183, surah al-Baqarah?
Selamat beramal…
*************************************************************
Ø
Tidak ada salahnya untuk meraikan
Aidilfitri dengan berpakaian baru dan sebagainya. Berpada-padalah dalam
berbelanja dan tidak menurut hawa nafsu. Pakaian baru biarlah seiring dengan
peningkatan penghayatan amal kita untuk mencermin kan Islam itu sendiri, bukan
mencerminkan kegembiraan sambutan semata-mata.
Ø
Semoga saya, anda dan kita semua
dapat mencapai takwa. Biarlah sedikit demi sedikit daripada tiada. Semoga dengan
sedikit ini kita sedar betapa berharganya hidayah dan petunjuk Allah kepada
kita selama kita bernafas di dunia ini.
*Takwa ialah mengikuti segala perintah Allah
dan menjauhi laranganNya.
Ø
Doakan saya, anda dan seluruh
ahli keluarga kita serta muslimin dan muslimat, supaya Allah mengampunkan
dosa-dosa kita yang lalu, dikekalkan dalam nikmat Iman dan Islam, dipanjangkan
umur dalam kebajikan, dan keluar dari belenggu nafsu, kejahilan dan Iblis
sekutunya.
“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur atau
barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah,
hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta
yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang
yang dalam perjalanan (musafir), peminta-minta, dan memerdekakan hamba sahaya,
yang laksanakan salat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji
apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada
masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah
orang-orang yang bertakwa.”
-
Al-Baqarah, ayat
177
“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan)
kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri,…”
-
Al-Baqarah, ayat 44
“Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami
sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami,
nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”
-
Al-A’raf, ayat 23
Salam
Eid Fitri, maaf zahir dan batin kepada semua selama perkenalan ada salah silap.
Semoga Allah menerima amalan saya dan kita semua. Doakan perjalanan kita di
dunia ini mendapat berkat dan keredhaan Allah. Amin…
“Ya Tuhan kami, terimalah (amal) dari kami. Sungguh, Engkaulah
Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
-
Al-Baqarah, ayat 127
Salam Eidul Fitri
17 Ogos 2012
29 Ramadhan 1433H
7:06 pagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan