Isnin, 13 Ogos 2012

::FIQH WANITA: Persoalan Haid Bahagian 1::

Busmillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh...

Sebelum ini, saya pernah kongsikan sedikit pengenalan tentang Fiqh Wanita pengenalan persekitaran haid, nifas & istihadah. Oleh itu, untuk bahagian ini, suka untuk saya kongsikan kepada anda apa yang perlu tahu tentang haid. Jujurnya, ramai wanita-wanita asyik tertanya-tanya tentang perkara ini. kenapa? Wanita ni tak kenal diri sendiri ke? hoho... x baik kata begitu. bukan mcm tu sebenarnya, mudah saya katakan, wanita ni unik tapi kompleks. maka, nak memahami sesama wanita sendiri ni pun kadangkala sukar.So, kepada kenalan & pembaca di luar sana, penting untuk tahu ya. Jangan jemu untuk mencari ilmu, belajar & mengajar. Semoga manfaat dapat diambil bersama. Selamat membaca & mengkaji diri anda, keluarga anda & saudara2 anda untuk agama. 

PERIHAL HAID
Sebelum pergi jauh mengenai persoalan-persoalan tentang haid ini, eloklah kita kenal dahulu beberapa jenis darah yang umumnya terjadi kepada wanita. Mengikut para ulama Islam, mereka bersependapat bahawa darah wanita itu terbahagi kepada 3 iaitu:
1.       Darah Haid                         : Darah yang keluar ketika seseorang berada dalam keadaan sihat
2.       Darah Nifas                        : Darah yang keluar selepas bersalin
3.       Darah Istihadah                 : Darah yang keluar bukan pada masa haid dan nifas dan dikira  
  sebagai darah penyakit.

Sebagai permulaan, kita mulakan dahulu dengan darah haid. Haid mempunyai pengertiannya yang tersendiri dari sudut:
Bahasa : Mengalir. Kerana ianya mengalir pada waktu-waktunya yang tertentu.
Syara’   :  Darah semulajadi yang keluar dari dalam rahim wanita setelah sampai peringkat
                   baligh ketika dalam keadaan sihat tanpa apa-apa sebab pada waktu-waktu yang
                   tertentu.

WARNA DARAH & CIRI-CIRI UTAMA
Darah haid tidak bermula dan berakhir dengan satu sifat tertentu sahaja kerana kadangkala ianya berlaku perubahan warna dari satu tahap ke satu tahap.
·         Menurut ulama-ulama mazhab Syafi’e, terdapat 5 warna bagi darah haid: hitam, merah, warna antara keemasan dan merah, kuning dan keruh (warna antara kuning dan putih).
·         Menurut ulama Hanafi, terdapat 6 warna darah haid: hitam, merah, kuning, keruh, hijau, dan warna seperti tanah.

Tentang ciri-ciri utamanya, Nabi SAW menyifatkan dengan beberapa sifat seperti:
  • Keadaannya yang pekat
  • Seperti terbakar (kerana kepanasannya)
  • Ia keluar dengan perlahan dan tidak mengalir seperti cairan yang biasa mengalir
  • Bau yang busuk
  • Warnanya yang hitam dan sangat merah

UMUR :
BERLAKU HAID
Dalam fiqh Islam, suatu ketetapan bahawa setiap yang tidak terdapat garis panduan pada syara’ atau pada bahasa, maka hendaklah dirujukkan kepada kebiasaan yang wujud.
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa beliau berkata:
“Apabila seorang kanak-kanak perempuan mencecah usia sembilan tahun maka ia dikenali sebagai wanita”.
Hadis diriwayatkan oleh al-Baihaqi
Kebanyakan imam mazhab  berpendapat sekurang-kurangnya umur berlaku haid adalah ketika seseorang wanita berumur 9 tahun berdasarkan kepada kebiasaan yang terjadi.

PUTUS HAID
Dalam hal penentuan usia putus haid (monopouse), terdapat perselisihan pendapat antara para fuqaha’ kerana tiada nas yang menyebutkan tentangnya serta disandarkan kepada istiqra’ (melihat kebiasaan yang berlaku).
  • Menurut ulama mazhab Syafi’e, usia tamat haid ialah 60 tahun dan ada juga mengatakan ianya tiada batasan maksimum.
  • Menurut mazhab Hanafi, usia tamat haid ialah 55 hingga 60 tahun.
  • Menurut mazhab Maliki, usia tamat haid ialah 70 tahun dan mereka (wanita) yang berumur antara 50 hingga 70 tahun hendaklah ditanya tentang berakhirnya haidnya.
  • Menurut mazhab imam Ahmad, usia tamat haid adalah 50 tahun, yakni tidak ada haid selepas 50 tahun. Ada juga pendapatnya mengatakan batasan penamat haid ketika usia 60 tahun.
  • Menurut mazhab Hanbali, permulaan tamat haid ketika usia 50 tahun dan penamatnya ketika usia 60 tahun, sementara tempoh antara kedua-dua usia ini dikira sebagai tempoh dalam keraguan.

TEMPOH HAID
  • Sekurang-kurang haid: Sehari semalam
  • Kebiasaan tempoh: 6 hingga 7 hari berdasarkan sabda Rasulullah saw kepada Hamnah binti Jahsy r.a yang bermaksud:
“Setelah kamu kedatangan haid selama enam atau tujuh hari seperti dalam pengetahuan Allah maka mandilah. Dan apabila anda melihat bahawa anda telah suci dan bersih maka tunaikanlah sembahyang dalam masa dua puluh empat malam atau dua puluh tiga malam dan berpuasalah. Sesungguhnya demikian itu memadai bagimu dan demikianlah hendaknya kamu lakukan pada setiap bulan sebagaimana wanita-wanita lain yang kedatangan haid dan sebagaimana mereka suci pada tempoh haid dan tempoh suci mereka”.
Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi-hadis sohih

  • Selama-lama haid: 15 hari 15 malam. (walaupun kedatangannya tidak terus menerus tetapi kadar keseluruhan datangnya mencapai sehari semalam)

TEMPOH SUCI ANTARA 2 HAID
Menurut jumhur ulama fuqaha’ Maliki, Syafi’e dan Hanafi;
  • Sekurang-kurang tempoh suci antara 2 haid: 15 hari 15 malam
Ini kerana selama tempoh sebulan yakni 30 hari, dibahagikan kepada 15 hari bagi sebanyak-banyak haid. Maka, baki tempohnya 15 hari kemudian adalah bagi sekurang-kurang suci.
  • Sebanyak-banyak (semaksimum) tempoh suci: tidak terhad
Ini kerana ada dalam kalangan wanita yang kedatangan haid setahun sekali dan ada pula yang hanya sekali seumur hidup, dan ada pula yang langsung tidak pernah kedatangan haid.

TANDA BERHENTINYA HAID
Tanda-tanda dan pemberitahuan ini merupakan pendapat yang dipegang dalam mazhab Hanafi, Syafi’e dan Maliki.
  • Menurut Al-Imam al-Nawawi r.h, tanda terputusnya haid dan wujudnya suci adalah apabila berhentinya darah yang keluar dan cairan kuning dan keruh. Apabila terputus darah yang keluar maka wanita itu menjadi suci sama ada selepasnya keluar lembapan berwarna putih (keputihan) ataupun tidak.
  • Menurut Aisyah isteri Rasulullah saw (kisah): Pernah beberapa orang wanita menghantar kepada Aisyah perca kain yang didalamnya terdapat kapas yang mempunyai kesan warna kuning, lalu Aisyah berkata: “Janganlah kamu gopoh melainkan setelah mendapati qissah (kapas) putih”.
  • Menurut Asma’ binti Abu Bakar r.a, beliau pernah ditanyakan tentang sedikit warna kuning, lalu beliau berkata: “Tinggalkan sembahyang selagi mereka (kaum wanita) masih mendapati yang demikian sehinggalah ia tidak melihat melainkan seperti susu yang bersih”.

PENGGUNAAN UBAT UNTUK MENGELUAR DAN MENGHALANG HAID
Tidak mengapa sekiranya seseorang wanita menggunakan sesuatu yang dapat menghalang kedatangan haidnya atau mengundang kedatangan haid jika tidak dibimbangi berlaku apa-apa kemudaratan terhadap dirinya.
Menggunakan sesuatu yang menghalang haid HARUS dilakukan dengan 2 syarat:
1.       Ia tidak bimbang berlaku kemudaratan terhadap dirinya. Jika bimbang, tidak harus buat berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195:
2.       Dilakukan dengan keizinan suami jika ia mempunyai hubungkait dengan hak suami seperti perempuan beriddah akibat diceraikan suaminya.

Menggunakan sesuatu yang menyebabkan kedatangan haid HARUS dengan 2 syarat:
1.       Janganlah dengan cara itu menyebabkan ia menggugurkan kewajipan seperti menggunakannya di saat hampirnya Ramadan dengan tujuan tidak berpuasa atau dengan tujuan menggugurkan kewajipan sembahyang dan seumpamanya.
2.       Dilakukan dengan keizinan suami.

Jika menggunakan ubat yang menyebabkan terputusnya haid bukan pada waktunya yang biasa, maka ia dianggap sebagai suci dan iddahnya tamat kerana terputus haid itu.
Namun, seorang wanita tidak harus menghalang kedatangan haidnya atau menyegerakannya jika ianya menyebabkan terjejasnya kesihatan. Ini kerana, memelihara kesihatan merupakan suatu kewajipan.

WARNA KUNING DAN KERUH
Kebanyakan ulama berpendapat dengan pendapat sohih di kalangan fuqaha’ Syafi’e, warna kuning dan keruh tidak dianggap sebagai haid JIKA kedatangannya BUKAN pada waktu haid.
Berlainan pula JIKA kedatangannya PADA waktu haid, maka ia (warna kuning atau keruh) dikira sebagai darah haid.
Dalil yang dikemukakan dengan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ummi ‘Atiyyah r.a katanya: “Kami tidak menghitung warna kuning dan keruh selepas mandi akan sesuatupun”.

Abu Yusuf mengatakan: “Warna kuning adalah haid sementara warna keruh bukannya haid kecuali jika didahului oleh darah.”
Ini bermakna:
  • Jika ia (warna kuning atau keruh) datang sebelum haid, maka ia bukannya haid. Menurut pendapat Abu Thaur, jika warna kuning atau keruh itu didahului oleh darah maka kedua-duanya dikira sebagai haid.

HUKUM-HAKAM BERKAITAN DENGAN HAID
Dalam kitab al-Aysbah wal Nazair, Jalaluddin al-Sayuti menyebutkan terdapat 20 hukum yang berkaitan dengan haid. (12 HARAM, 8 TIDAK HARAM)
  • 12 daripadanya adalah HARAM
-          9 hukum yang HARAM itu ke atas PEREMPUAN itu sendiri:
1)     Sembahyang
2)     Sujud Tilawah
3)     Sujud Syukur
4)     Tawaf
5)     Puasa
6)     Iktikaf
7)     Masuk ke dalam masjid jika dibimbangi mencemarkannya
8)     Membaca al-quran
9)     Menyentuh mushaf dan menulisnya
10) Bersuci * (menurut satu lagi pendapat oleh pengarang kitab al-Muhazzab)
11) Menghadiri orang yang muhtadhar (sakit mati)* (menurut pendapat Al-Muhamili)
-          3 hukum yang HARAM pula ke atas SUAMI:
1)     Persetubuhan
2)     Talaq
3)     Istimta’ diantara pusat dan lutut

  • 8 perkara yang TIDAK HARAM:
1)     Baligh
2)     Mandi
3)     Iddah
4)     Istibra’
5)     Memastikan kebersihan rahim
6)     Menerima perkhabaran wanita yang haid
7)     Gugur kefardhuan sembahyang
8)     Tawaf wada’  


saya harap, perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu memahamkan diri anda terutama wanita-wanita , kenalan wanita dan sebagainya. Silakan berkongsi/share sekiranya catatan ini bermanfaat
....bakal bersambung di bahagian ke-2....


~Jadilah Wanita Sebaik-baik Perhiasan~


*catatan ini dirujuk daripada buku seperti di atas, karangan Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari. 
juga terdapat buku (isinya lebih kurang sama)keluaran Telaga Biru.



3 ulasan:

Nita Hanita berkata...

salam ziarah..info yang menarik.boleh salin?

kamarul berkata...

tq...maklumat yang bagus

hidayah berkata...

TERIMA KASIH ATAS MAKLUMAT INI..