Short post-
Short information via fb.... =(
*************************************
Short info via sms =(
***************************************
Hati sungguh rasa terpukul sekali dengan berita ini. Walaupun beliau bukanlah ahli keluarga kandungku, tapi mereka seolah-olah 'keluarga' ku jua. Macam mana perasaan ni boleh terjadi?
Lebih kurang 3 tahun mengenali ahli keluarga istimewa ni, keluarga usrah. Walaupun bilangannya kecil, tapi aku sangat bersyukur dengan kehadiran mereka semua. Ayda, Anis, Kak Su, Kak Sha, & Shu. 3 adik, 2 kakak. Aku dipertengahan. Menjadi naqibah, tapi bukanlah antara yang terbaik antara mereka & semua. Tapi proses islah sesama sendiri meniti kehidupan yang penuh pencaroba, berkongsi kisah, rasa & kenangan bersama.
Pernah dulu, dalam 1 sesi usrah tu, topik yang dibincangkan adalah mengenai 'cinta'. Bagaimana ingin mencari pasangan diri. Sebenarnya, ia bukanlah topik yang nak dibincangkan pun ketika itu tapi demi meraikan sebuah pandangan adik yang baru masuk, kami cuba meraikan dengan pandangan masing-masing. Aku juga tidak terkecuali dengan mengambil posisi tengah. Si adik berpandangan perlunya kita kenal dulu, berkawan dulu dengan lelaki2 berkenaan supaya kita tahu dia, si kak su pula mengambil jalan yang bagiku sungguh masuk ke dalam qalbu. Beliau mendedahkan kisah 'mencari cinta' yang dialami sehinggalah kini (pada waktu itu) telah selamat menjadi tunangan orang. Benar, kisahnya bukanlah seindah dan secantik yang orang harapkan tapi penuh pengajaran & jagaan dari Allah kepadanya. Tatkala hati terluka, hati beliau diketuk pula dengan jejaka belum dikenali, namun dengan bijaksananya beliau tidak menolak mentah-mentah risikan jejaka itu, ditambah lagi dengan istikharah, urusan beliau segalanya menjadi mudah. Malah telah selamat bergelar tunangan orang. Lebih kurang beberapa bulan atau setahun selepas itu, beliau pula telah selamat bernikah dengan tunangannya yang dahulu penah beliau ceritakan, belum pernah dikenalinya dulu. Sungguh, aku kagum dengan beliau mengharungi hidup ini. Aku menjadi silent follower terhadap kehidupannya dan sesekali bertanya khabar.
Beberapa bulan selepas itu, kehidupan mereka bertambah manis dengan kehadiran cahaya mata. Dikurniakan seorang mujahid, Fayyadh sebagai penyejuk mata, permata hati abi dan umminya. Ketika tempoh kandungannya, beliau masih lagi dalam pengajian di universiti. Pernah, ketika itu aku menziarahi kak su di biliknya. Wajah bahagia itu tak pernah kulupakan. Pernah juga aku dapat berita, beliau gusar dengan perkembangan kandungannya yang didapati kurang pergerakan, takut sesuatu yang terjadi. Beliau menangis, apatah lagi berjauhan dengan suami, si penguat hatinya. Aku dan Ayda berusaha menemani beliau ke hospital untuk check-up. Walaupun beliau ceria menyambut kami, tapi aku tahu hatinya tidak. Itulah, sekurang-kurangnya aku ada dalam lipatan hidup beliau dan anaknya, Fayyadh. Usia perkahwinan mereka setahun lebih, bulan disember ini baru nak masuk tahun ke-2. Betapa selama aku menjadi silent follower nya, aku tumpang gembira dengan kehidupan bahagia nya.
Semester ini, beliau sudah mula kembali menyambung pengajiannya yang tertangguh setahun lalu akibat bersalin dan menjaga anaknya yang baru lahir.Sungguh, siapa sangka dalam kebahagiaan yang dipinjamkan olehnya, tanpa sedar ia sekejap cuma.
Tanggal 8 November 2013, suami yang dicintainya dikhabarkan mengalami kemalangan. Bergegas kak su pulang ke Penang dalam keadaan gusar, gundah gula, tiada tenang. Hanya air mata menemani..... Rupanya, beliau sudah tiada di sisi.
Al-Fatihah....
Sekiranya kak Su berada di depan mataku, aku tak mampu meluahkan kata-kata semangat untuknya kerana aku jua terpukul dengan apa yang dialaminya. Aku pun tak tahu apa yang perlu lakukan. Apakah akan menangis bersama? Ya Allah, Engkau jualah yang lebih mengetahui apa yang ada dalam hati hambaMu. Aku tahu, kak su dan keluarganya adalah tergolong dalam orang-orang yang baik, yang selalu ingat padaMu, maka Kau kurniakanlah tempat yang baik untuk suaminya disisiMU, kuatkanlah kak Su dalam ketentuanMu ini, janganlah Engkau tinggalkan dia di saat dia telah rebah dengan semua ini. Kuatkanlah hati kecilnya ya Allah... =( kerana aku tahu, sepanjang ku mengenalinya, dia selalu berbisik dalam hatinya, Cukuplah Engkau baginya.
Beliau yang aku kagumi. Mengajar aku banyak erti kehidupan. Aku tak tahu apa yang akan berlaku seterusnya, dengan kehidupanmu, dengan anakmu setahun cuma, dengan pengajianmu yang berbaki. Mungkin benar kata orang, kehilangan pasangan yang tersayang, seolah-olah kehilangan separuh daripada nyawanya sendiri. Beliau yang gagah, semoga terus gagah menghadapi dengan izinMu. Untukmu kak Su & Fayyadh. Al-Fatihah untukmu selalu kakakku. Amin.... (sayang semua kerana Allah)
*Cinta itu sebuah keikhlasan, bukan paksaan, jika ia bukan ikhlas, bukanlah namanya cinta, tapi dusta dan mainan.
Setiap kali bagi yang membaca coretan ini, saya mohon hadiahkanlah setangkai doa dan al-fatihah untuk arwah suaminya, Fakhruzy dan keluarga kak Su, anaknya Fayyadh. moga dikuatkan jiwanya menghadapi ketentuanMu ini.
Setiap kali bagi yang membaca coretan ini, saya mohon hadiahkanlah setangkai doa dan al-fatihah untuk arwah suaminya, Fakhruzy dan keluarga kak Su, anaknya Fayyadh. moga dikuatkan jiwanya menghadapi ketentuanMu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan